KUALA LUMPUR: Atlet terjun kebangsaan Muhammad Syafiq Puteh yakin skuad Sukan SEA negara yang majoritinya dibarisi atlet pelapis, mampu mencapai sasaran tiga emas, tiga perak dan dua gangsa pada temasya dwitahunan itu.

Penerjun berusia 27 tahun itu yang akan menggalas tugas sebagai 'abang' kepada skuad terjun negara di Phnom Penh, Kemboja bermula 5-17 Mei ini, yakin dengan hasil kerja keras yang ditunjukkan oleh penerjun muda mampu menterjemahkan kilauan pingat.

"Walaupun Sukan SEA kali ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama bagi mereka, saya percaya mereka mampu naik podium dengan adanya 'hard training'," katanya pada sidang media Kontinjen Sukan SEA di Majlis Sukan Negara di sini, pada Khamis.

Pada temasya itu, sukan terjun menawarkan keseluruhan empat pingat emas.

Daripada lapan atlet disenaraikan untuk Sukan SEA kali ini, hanya Muhammad Syafiq, Gabriel Gilbert Daim (3m papan anjal), Bertrand Rhodict Anak Lises (10m platform) serta atlet wanita Kimberly Bong dan Ong Ker Ying (kedua-duanya 3m papan anjal) telah beraksi di Sukan SEA Hanoi tahun lepas.

Enrique Maccartney Harold (10m platform lelaki), Lee Yiat Qing dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, yang kedua-duanya beraksi dalam 10m platform wanita, akan membuat penampilan pertama pada temasya berkenaan.

Nama-nama besar seperti Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang dan Wendy Ng Yan Yee tidak disenaraikan bagi memberi pendedahan kepada atlet muda.

Muhammad Syafiq, yang turut disasarkan untuk mempertahankan emas acara 3m papan anjal lelaki, berkata persiapannya berjalan dengan baik dan beliau kini sedang memperbaiki kesilapan dalam teknik terjunan yang dikesan ketika Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan (MIAG) yang berakhir Isnin lepas di Bukit Jalil.

"Saya ada lagi sebulan untuk betulkan semua kelemahan saya. Namun, tekanan masih ada sebab saya jangkakan cabaran sengit daripada wakil Thailand dan Singapura, jadi saya tidak mahu meletakkan diri saya tinggi sangat," katanya.

Sementara itu, Kimberly berasa beliau masih berada dalam landasan betul untuk menggantikan atlet senior seperti Pandelela dan Nur Dhabitah untuk menjadi pencabar pingat di peringkat antarabangsa.

Penerjun berusia 21 tahun kelahiran Sarawak itu berkata walaupun perkembangan kariernya telah terganggu berikutan beberapa kecederaan termasuk kecederaan bahu yang masih dalam proses pemulihan, beliau tetap percaya mampu melakukan yang terbaik.

"Saya perlu mengejar mereka (senior). Saya di bawah mereka sedikit, saya perlu lebih banyak latihan, perlu meningkatkan lagi kemahiran saya. Selepas Sukan SEA, kami ada kejohanan dunia dan Sukan Asia, jadi saya ada sasaran untuk maju," katanya.

Jurulatih skuad kebangsaan Carlyse Chan Wee Cheik berkata Sukan SEA kali ini akan menjadi pendedahan terbaik buat anak-anak buahnya, selepas pandemik COVID-19 menjejaskan peluang untuk mereka bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kita harap mereka mampu buat yang terbaik ketika pertandingan," katanya.

-- BERNAMA