TAHUN lalu pelakon dan penulis Hollywood yang merupakan ahli Persatuan Pelakon Skrin – Persekutuan Artis Televisyen dan Radio Amerika (SAG-AFTRA) melakukan mogok selama 118 hari bagi memastikan rupa serta karya mereka tidak digunakan untuk melatih kecerdasan buatan (AI).

Mogok hanya selesai selepas Perikatan Penerbit Filem dan Televisyen (AMPTP) bersetuju dengan beberapa permintaan seperti memberikan perlindungan terhadap hak cipta intelek dan hak imej.

Hari ini, pelakon suara dan tangkapan aksi (motion capture) yang merupakan ahli SAG-AFTRA mengumumkan mogok ke atas syarikat permainan video seperti Activision, Blindlight, Disney Character Voices, Electronic Arts, Insomniac Games, Take 2 , VoiceWorks Production dan WB Games.

Ini kerana persetujuan mengenai penggunaan AI gagal dipersetujui walaupun perbincangan telah dilakukan lebih 18 bulan lamanya.

Keputusan untuk mogok dipersetujui oleh 98.32% ahli yang melakukan undian.

Akibat daripada mogok ini, pembangunan seperti GTA 6 adalah antara yang akan terkesan. Permainan ini dijadualkan mula dijual musim luruh 2025. -Amanz