Memetik laporan Kompas, busana tersebut merupakan sentuhan magis pereka fesyen republik itu, Didit Hediprasetyo yang diinspirasikan daripada sosok pelukis Jawa, Raden Saleh.
BACA: Fakta menarik pembukaan Olimpik Paris, Celine Dion 'belayar' di Sungai Seine?
Menurut pereka fesyen berusia 40 tahun itu, rekaan busana berona biru dan merah itu diharap dapat menaikkan semangat para atlet untuk beraksi di pentas temasya Olimpik Paris 2024.
“Harapan saya dapat menciptakan rekaan yang menjadi kebanggaan, semangat dan kekuatan bangsa.
“Sekali gus, ia memastikan bahawa setiap atlet muncul dan menjadikan mereka yang terbaik ketika pertandingan di pentas dunia itu," katanya seperti dilapor Kompas, hari ini.
Perjalanan Raden Saleh dari Jawa Tengah ke istana-istana Eropah pada abad ke-19 mencerminkan kebangkitan bangsa Indonesia di peringkat antarabangsa yang menghiasi dinding Muzium Rijksmuseum di Belanda dan Louvre, Paris.
Ia bukan pertama kali kontinjen Indonesia mengenakan pakaian adat ketika majlis pembukaan Olimpik. Pada edisi 2016, atlet negara itu mengenakan pakaian adat Lampung.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan kontinjen Malaysia akan menggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini pada pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut , Dato' Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
Penampilan kontinjen negara-negara yang mengetengahkan persalinan budaya warisan tempatan dijangka memeriahkan acara pembukaan temasya sukan terbesar itu nanti, dengan mempamerkan kelainan tersendiri.
Lebih awal, kontinjen Mongolia mencuri perhatian dengan uniform berciri tradisional menarik rekaan label fesyen Michel&Amazonka. Negara seperti Haiti dan Kanada pula tampil dengan rekaan uniform dengan sentuhan hip dan moden, manakala uniform Ireland dan Taiwan masing-masing bersama mesej kelestarian dan material mesra ekologi.
BACA: 'The Malaya' Rizman Ruzaini bakal jadi tumpuan di Paris