KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia.


Ringkasan AI
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia melalui pembangunan dan pelaksanaan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS).
  • Sistem NBCS akan dilengkapi dengan pengawasan dan teknologi AI terkini untuk operasi tanpa pengawasan, kawalan pintar, penyebaran maklumat masa sebenar, dan pengawasan berterusan bagi meningkatkan kecekapan keselamatan sempadan.
  • Kajian kebolehlaksanaan pembangunan NBCS ini sedang dijalankan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama pakar daripada universiti awam, bermula pada 7 September 2023 dan dijangka siap pada November 2024.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, bergerak ke arah itu, kementerian kini sedang mengkaji untuk membangunkan dan melaksanakan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS).

Menurutnya, cadangan itu adalah langkah strategik KDN bagi meningkatkan kawalan sempadan di Malaysia menggunakan teknologi terkini, selari dengan perkembangan semasa dunia.

Pengawasan pintu masuk negara dengan teknologi AI akan dilaksana 2026

Tambahnya, sistem NBCS itu akan dilengkapi dengan sistem pengawasan dan teknologi AI yang terkini.

Ia bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan.

“Penggunaan berasaskan teknologi AI ini akan membolehkan pengesahan objek dilaksanakan secara efektif, di samping dapat mengelakkan penggera palsu (false alarm).

“Ia juga dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan.

“Buat masa kini, KDN dalam pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMKe12).

“Kajian ini dilaksanakan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), KDN melalui pelantikan pasukan penyelidik dan pakar daripada Universiti Awam.

“Ia telah bermula pada 7 September 2023 dengan tempoh kajian selama 14 bulan yang dijangka berakhir pada November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin, menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN - Kuala Pilah) yang bertanya inisiatif KDN bagi meningkatkan penggunaan teknologi AI dalam memperkukuhkan kawalan sempadan negara.