Lompatan akhir Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51 meter (m) mengecewakan Latif Romly yang sebelum itu seakan mempertahankan emasnya dengan catatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiga.
Membuka langkahnya di Stade de France, Latif Romly sedikit ketinggalan pada percubaan pertamanya apabila melakukan lompatan sejauh 7.22m di belakang Hassan Dawshi dari Arab Saudi (7.27m).
Atlet dari Perlis itu kemudian berjaya memimpin kedudukan pada percubaan kedua dengan jarak sejauh 7.43m bagi mengatasi catatan musim terbaiknya 7.30m ketika muncul juara dunia di Kobe, Jepun, Mei lepas dan terus memperbaiki catatan pada lompatan ketiga dengan 7.45m.
Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu gagal mengekalkan rentaknya apabila baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan sekali gus menyaksikan Iakushev merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Atlet Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa menerusi lompatan terbaik 7.38m yang hadir pada percubaan keduanya.
Pencapaian Latif Romly hari ini menyaksikan Malaysia menambah satu lagi perak selepas rakan sepasukannya, Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).
Malaysia sudah memperoleh dua emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).
Seorang lagi atlet olahraga para negara Eddy Bernard menyumbang gangsa dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal). - BERNAMA