Paralimpik Paris 2024: Bonnie pecah rekod dunia, sumbang emas kedua negara
Jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin, menggondol pingat emas kedua negara dalam Sukan Paralimpik Paris 2024.
Astro Arena
Fri Sep 06 2024
Dalam aksi final angkat berat tersebut, atlet kelahiran Sarawak itu berhasil memecahkan rekod dunia miliknya sendiri (231kg) dengan angkatan baru 232kg. - Foto Bernama
JAGUH angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin, menggondol pingat emas kedua negara dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 di Arena Porte de La Chapelle, sebentar tadi.
Juara dunia 2023 kategori 72kg itu berjaya mempertahankan kejayaan yang dimenanginya ketika di Tokyo 2021 sekali gus menepati ramalan menduduki podium tertinggi temasya berprestij itu sambil menyaksikan lagu NegaraKu berkumandang kali kedua di bumi Kota Cinta.
Dalam aksi final angkat berat tersebut, atlet kelahiran Sarawak itu berhasil memecahkan rekod dunia miliknya sendiri (231kg) dengan angkatan baru 232kg yang turut mencatatkan rekod temasya yang baru.
Dia melakukan angkatan pertama dengan 221kg sebelum memastikan emas miliknya di angkatan kedua dengan 226kg.
Angkatan ketiganya, 232kg cukup untuk menjadi penyumbang emas kedua temasya berprestij itu selepas Cheah Liek Hou. -- Stadium Astro