Rentetan daripada pencapaian membanggakan tersebut, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) semakin berani menetapkan sasaran untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan menyasarkan empat emas untuk dibawa pulang dari temasya sukan di sini.
Bagaimanapun, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.
Perumpamaan tersebut mungkin sesuai untuk menggambarkan pencapaian kontinjen Malaysia yang kurang 'garang' pada Sukan Paralimpik Paris 2024, yang melabuhkan tirainya di Stade de France, di sini, malam tadi, selepas menamatkan cabaran dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Keyakinan yang dilaungkan MPM sebelum ini bahawa Malaysia mampu mencapai empat pingat emas tidak berjaya direalisasikan, sekali gus menyaksikan reputasi kontinjen negara, yang dibarisi 30 atlet yang bertanding dalam lapan jenis sukan, sedikit tercalar pada Sukan Paralimpik kali ini.
Lebih memeritkan, kedua-dua perak di Paris 2024 itu datang daripada dua jaguh olahraga, iaitu Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), yang sebelum ini menjadi sandaran utama negara untuk menjelmakan kilauan emas di kota Paris.
Empat pingat yang diraih Malaysia kali ini juga datang daripada atlet-atlet lama, termasuk dua pingat emas, masing-masing daripada jaguh badminton para Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin.
Situasi itu jelas menggambarkan bahawa kontinjen Malaysia masih bergantung kepada atlet berpengalaman untuk membawa pulang pingat, serta memberi petanda sama ada atlet baharu atau pengganti mereka mampu menggalas cabaran yang pernah dibawa oleh barisan atlet senior selepas ini.
Ini kerana, daripada 18 atlet pendatang baharu, hanya Eddy Bernard yang berjaya membawa pulang pingat, iaitu gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal).
Biarpun Liek Hou dan Muhammad Ziyad masih enggan mengalah dan berhasrat beraksi di Los Angeles 2028 (LA 2028), faktor usia mereka yang semakin meningkat menimbulkan persoalan sejauh mana mereka mampu memberi tentangan sengit empat tahun lagi.
Bukan sahaja perlu berwaspada dengan pemenang emas Ukraine, Oleksandr Yarovyi, 25, yang masih muda, malah Muhammad Ziyad dijangka berdepan rintangan lebih hebat sekiranya pemegang rekod dunia, Maksym Koval dari Ukraine, yang mempunyai lontaran sejauh 17.57m, memutuskan untuk membalas dendam di LA 2028 selepas terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
Begitu juga dengan Latif Romly, yang tidak boleh memandang enteng kehadiran Matvei Iakushev selepas Atlet Paralimpik Neutral itu menafikan emas hatrik acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) yang disambarnya menerusi lompatan akhir 7.51 meter (m) di Stade de France.
Atlet dari Kangar itu juga tidak boleh membiarkan kecederaan terus menghimpitnya semasa beraksi pada Sukan Paralimpik, selepas mengalami kecederaan otot perut di bahagian kiri yang menjejaskan peluangnya merangkul emas di Paris 2024, jika beliau mahu meraih kedudukan tertinggi di podium pada LA 2028.
Untuk memastikan sukan olahraga para terus cemerlang dan menyumbang pingat di pentas Paralimpik, tumpuan juga harus diberikan kepada pemantapan program latihan untuk Eddy dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi, yang berpotensi 'meletup' pada masa akan datang.
Eddy berjaya menyerlah dalam Sukan Paralimpik pertamanya dengan meraih pingat gangsa, manakala Muhammad Ammar Aiman hampir meraih pingat gangsa dalam acara 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual), tetapi terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat selepas dipintas pada saat akhir oleh Yovanni Philippe dari Mauritius.
Dalam pada itu, Bonnie sememangnya layak diangkat sebagai atlet Malaysia paling cemerlang di Paris 2024, setelah sanggup melawan kecederaan bahu kiri untuk merangkul emas dengan angkatan seberat 232kg, sekali gus meleburkan rekod lama miliknya sebanyak 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Memandangkan umurnya yang masih muda, atlet berusia 25 tahun itu tidak mustahil menjadi prospek cerah emas di LA 2028, sekiranya beliau terus meningkatkan prestasi, terutama dari segi jumlah angkatannya.
Bagaimanapun, prestasi atlet dari Sarawak itu tidak dapat diikuti oleh dua rakan sepasukannya, iaitu Jong Yee Khie dan Nicodemus Manggoi Moses.
Kecederaan di dada kanan meragut peluang Yee Khie, yang merupakan pemenang pingat perak dalam acara lelaki 107kg pada Tokyo 2020, untuk kembali ke podium. Beliau hanya dapat berada di kedudukan ketujuh dengan angkatan seberat 208kg, manakala Nicodemus menamatkan kempen sulungnya di pentas Paralimpik di kedudukan ketujuh juga, dengan hanya berjaya melepasi percubaan pertamanya iaitu 210kg.
Dalam kem badminton para, Liek Hou ternyata masih berbisa walaupun telah menginjak usia 36 tahun, manakala prestasi Muhammad Fareez Anuar, yang merupakan pemain bukan pilihan, turut menarik perhatian peminat sukan tanah air. Ini berikutan kejayaan memberangsangkan beliau dalam menjuarai Kumpulan B, termasuk mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan, dengan kemenangan 21-14, 21-18.
Biarpun terlepas peluang memperoleh pingat gangsa selepas ditundukkan oleh Dheva Anrimusthi dari Indonesia dengan keputusan 21-17, 19-21, 12-21, Muhammad Fareez telah membuktikan kemampuannya dan perlu digilap dengan lebih hebat lagi.
Nasib berbeza dialami Muhammad Ikhwan Ramli, yang gagal membuktikan statusnya sebagai pemain nombor tiga dunia apabila tersingkir di peringkat kumpulan dalam acara perseorangan lelaki WH1 (kecacatan fizikal). Cabarannya bersama gandingan Noor Azwan Noorlan dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal) juga terhenti di peringkat yang sama.
Ketiadaan bekas pemenang pingat perak individu BC1, Chew Wei Lun, yang telah bersara, jelas dirasai oleh kem boccia negara apabila tiga atlet baharu, iaitu Noor Askuzaimey Mat Salim, Abdul Razzaq Abdul Rahman, dan Lee Chee Hoong, tidak berjaya menjelmakan kilauan pingat di South Paris Arena 1.
Daripada tiga muka baharu tersebut, Noor Askuzaimey wajar diberi pujian susulan semangat juang tingginya yang membolehkannya melepasi peringkat kumpulan sebelum tewas 1-7 kepada jaguh Colombia, Leidy Chica Chica, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara individu wanita BC4 (kecacatan fizikal).
Prestasi tidak menentu jaguh memanah para negara, S. Suresh, sejak muncul juara dunia 2019 berterusan apabila beliau tersingkir awal di pentas Paralimpik buat kali kedua berturut-turut. Kali ini, beliau disekat oleh jaguh Iran, Mohammad Reza Arab Ameri, dengan keputusan 2-6 dalam pusingan penyingkiran 1/8 acara recurve terbuka lelaki di Invalides.
Panahan dua lagi pemanah compound negara, G. Daneshen (lelaki) dan Nur Jannaton Abdul Jalil (wanita), juga kurang memuaskan apabila masing-masing tersingkir di peringkat 1/16 kepada lawan mereka.
Walaupun tersingkir awal, Suresh boleh mendabik dada kerana telah memperbaharui catatan musim terbaiknya dengan 596 mata semasa saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech Jun lalu. Begitu juga dengan Nur Jannaton, yang memperoleh 649 mata, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 615 mata pada Kejohanan Ranking Memanah Para Dunia Fazza di Dubai pada Mac lalu.
Daripada keseluruhan enam pelumba yang dibariskan skuad berbasikal para negara, kelibat Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dilihat lebih menyerlah berbanding yang lain, termasuk menjadi pelumba terbaik Asia dalam saingan lebuh raya. Beliau menamatkan acara ujian masa individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) di tangga kelima, mengatasi jaguh China, Li Zhangyu, yang pernah memenangi dua emas dalam saingan berbasikal trek.
Penampilan kedua perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, boleh dianggap baik berbanding aksinya di Tokyo 2020. Beliau layak ke final tiga kali di Paris La Defense Arena, termasuk memperbaharui rekod peribadi acara kegemarannya, 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal). Rekod barunya adalah 1:45.15s pada peringkat saringan, mengatasi catatan lama 1:46.78s yang dibuat semasa memenangi emas di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.
Kegugupan perenang para negara Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan, pada aksi sulungnya di pentas Paralimpik menyebabkan beliau tidak berjaya melangkah ke final acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual). Beliau menduduki tangga tercorot secara keseluruhan daripada tiga saringan dengan catatan 1:04.58s.
Kem tenis kerusi roda negara, yang diwakili oleh pemain berpengalaman Abu Samah Borhan dan muka baharu Muhammad Yusshazwan Yusoff, tidak mampu menyinar di venue ikonik, Stade Roland-Garros. Masing-masing terkandas pada pusingan pertama dalam acara perseorangan lelaki, manakala dalam pusingan kedua acara beregu lelaki, mereka akur kepada pilihan kelima dari Sepanyol, Daniel Caverzaschi-Martin De La Puente, dengan keputusan 2-6, 3-6.
Di sebalik kehampaan yang menyelubungi kontinjen Malaysia, mereka perlu mengambil iktibar daripada kegagalan mencapai sasaran empat emas dan kembali bangkit dengan menampilkan aksi yang lebih luar biasa pada edisi seterusnya di LA 2028. Au revoir (selamat tinggal), Paris 2024! - BERNAMA