Biarpun berdepan cabaran permainan fizikal Bahrain, Samurai Biru terlebih dahulu memberikan amaran pada minit ke-10, menerusi tandukan dari jarak dekat Ayase Ueda berpunca hantaran lintang Takefusa Kubo yang memaksa Ebrahim Lutfalla bertindak pantas menepis bola keluar.
Skuad bimbingan Hajime Moriyasu itu yang mempertaruhkan corak permainan pantas dan hantaran pendek akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-31 selepas Ritsu Doan menyudahkan bola muntah sepakan deras Seiya Maikuma yang sekadar menggegar tiang gol.
Selepas kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat, Jepun tidak menunggu lama untuk mencetak gol kedua selepas separuh masa kedua bersambung.
Kesilapan pemain pertahanan Bahrain Abdulla Yusuf tertolak bola ke arah gawang sendiri dalam keadaan kelam kabut, menyaksikan Kubo yang berada di posisi ofsaid, tenang menyudahkan peluang terhidang untuk meletakkan Jepun mendahului 2-0 pada minit ke-49.
Jaringan tersebut disahkan pengadil Ahmad Alali selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang.
Bahrain bangkit menggandakan serangan sebelum usaha itu membuahkan hasil apabila tandukan Sayed Baqer gagal ditangkap kemas Zion Suzuki yang menyaksikan bola melepasi garisan gawang Jepun untuk Bahrain mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-64.
Namun, lapan minit kemudian Jepun melebarkan kedudukan menerusi Ueda yang menerima lorongan Maikuma sebelum membuat gerakan solo melepasi tiga pemain Bahrain dan melepaskan rembatan kaki kanan untuk menewaskan Ebrahim Lutfalla buat kali ketiga dalam perlawanan itu.
Jepun yang merupakan pasukan terbaik Asia di ranking dunia ke-17 kemudian memiliki beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan, namun penyudah yang tumpul menyaksikan keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.
Menanti Jepun di pentas suku akhir di Stadium Education City, Sabtu ini adalah antara juara tiga kali, Iran dan Syria yang akan membuat perhitungan pada satu lagi aksi pusingan 16 terbaik lewat hari ini.
-- BERNAMA