LUSAIL: Tuan rumah Qatar mempertahankan gelaran juara Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan 3-1 pada perlawanan akhir penuh kontroversi yang menyaksikan tiga jaringan The Maroons hadir menerusi penalti di venue ikonik Stadium Lusail, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga penalti itu disempurnakan penyerang sensasi Akram Afif masing-masing satu pada separuh masa pertama diikuti dua pada separuh masa kedua dengan gol sagu hati Jordan yang juga jaringan penyamaan di babak kedua hadir menerusi Yazan Al-Naimat.

Kejayaan itu menyaksikan Qatar muncul pasukan kelima meraih gelaran juara berturut-turut selepas Korea Selatan pada edisi 1956 dan 1960; Iran yang mencipta hatrik (1968, 1972,1976); Arab Saudi (1984,1988) dan Jepun pada edisi 2000 dan 2004.

Qatar bimbingan Marquez Lopez terlepas membuka jaringan awal pada minit ke-12 apabila hantaran jauh cantik Hassan Al-Haydos tepat menemui Almoez Ali yang hanya perlu menewaskan penjaga gol dalam kotak penalti, namun rembatannya dihalang Salem Al-Ajalin

Giliran Jordan kendalian Hussein Ammouta menguji penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham apabila Al-Naimat yang menerima hantaran Ali Olwan melepaskan rembatan padu kaki kanan dari luar kotak penalti yang berjaya ditolak keluar pada minit ke-16.

Qatar akhirnya memecah kebuntuan gol pada minit ke-22 menerusi penalti Afif yang dijatuhkan Abdallah Nasib sebelum pemain Al Sadd berusia 27 tahun itu tenang membuat sepakan leret ke arah kiri gawang yang seinci daripada jangkauan Yazeed Abulaila.

Abulaila kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan gawang dari dibolosi buat kali kedua selepas menepis keluar bola tandukan tajam Lucas Mendes berpunca sepakan penjuru diambil Afif pada minit ke-33.

Di penghujung 45 minit pertama, Afif mencemaskan penyokong Qatar di stadium apabila beliau diusung keluar bagi mendapatkan rawatan sebelum kembali ke padang sekali gus mendapat tepukan gemuruh.

Memasuki tambahan masa babak pertama, Mohammed Waad Albayati menafikan peluang Jordan menyamakan kedudukan di lewat permainan selepas rembatan Al-Tamari yang menerima hantaran lintang Olwan terkena badannya.

Bersambung babak kedua, The Chivalrous bermula garang apabila melancarkan serangan bertali arus yang menyaksikan Barsham bertindak cemerlang menyelamatkan tiga percubaan berbahaya berturut-turut menerusi Haddad, Yazan Al-Arab dan Al-Tamari.

Namun, penjaga gol Al Sadd berusia 26 tahun itu akhirnya bolos apabila Al-Naimat berjaya melepasi kawalan pertahanan Qatar untuk menerima bola hantaran lambung dari sebelah kanan Haddad dengan baik sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada minit ke-67.

Enam minit kemudian, Afif kembali meletakkan Qatar di depan apabila menyempurnakan penalti selepas pengadil Ma Ning yang meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang mengesahkan berlaku kekasaran selepas Ismaeel Mohammad dijatuhkan Mahmoud Almardi.

Pengadil dari China itu sekali lagi bergantung kepada VAR untuk menentukan penalti ketiga Qatar selepas Abulaila didapati menjatuhkan Afif sebelum penyerang dengan gaya rambut mencuri tumpuan itu sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-90+5 untuk melengkapkan hatrik.

Tiga jaringan Afif malam ini membolehkan beliau mengumpul keseluruhan lapan gol untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan memintas pemain Iraq, Aymen Hussein yang mengumpul enam gol, selain turut membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.

Perlawanan itu turut disaksikan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino.

-- BERNAMA