DOHA: Penyerang sensasi Qatar, Akram Afif memberi amaran menjelang aksi final Piala Asia 2023 bertemu Jordan, Sabtu ini, selepas 'The Maroons' menyingkirkan juara tiga kali Iran 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Al Thumama di sini, malam tadi (lewat malam waktu Malaysia).

Afif, yang meledak satu gol dan membuat bantuan jaringan malam tadi untuk memastikan Qatar selangkah daripada mempertahankan gelaran, berkata kejayaan pasukan tidak akan berhenti setakat di sini.

"Tahniah kepada peminat yang sentiasa berada di belakang kami, terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pemain, kemenangan malam ini tidak mudah, kami sangat bangga dengan diri kami dan peminat yang menyokong walau di mana mereka berada.

"Mereka (peminat) layak menerima kemenangan ini, kami berharap dan akan berusaha untuk memastikan kejayaan ini berterusan," kata pemain berusia 27 tahun itu pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Sementara itu, ketua jurulatih Marquez Lopez memuji semangat dan kesungguhan pemainnya yang berjaya mengharungi tekanan hebat dalam usaha mencipta kemenangan ke atas Iran.

"Saya berterima kasih kepada semua terutama pemain kerana mereka yang berusaha untuk meraih kemenangan, perlawanan sangat sengit tetapi kami bermain dengan baik dan sekarang kami ada satu lagi langkah dalam mempertahankan gelaran," kata pengendali dari Sepanyol berusia 62 tahun itu.

Pada masa sama, beliau berkata pengalamannya dan kerjasama yang sangat baik diberikan pemain membantunya mengendalikan pasukan selepas dilantik sebagai ketua jurulatih kira-kira sebulan sebelum pertandingan bermula.

"Memang saya mempunyai masa yang suntuk tetapi apa yang membantu adalah kerana saya kenal dan rapat dengan pemain-pemain ini, saya berada di sini untuk tempoh yang agak panjang.

"Mereka boleh ikut segala arahan dan falsafah permainan yang saya mahukan. Saya hargai segala sokongan yang diberikan," kata bekas jurulatih Al-Wakrah yang dilantik pada awal Disember lalu bagi menggantikan Carlos Queiroz.

Lopez merupakan jurulatih Al-Wakrah sejak 2018 sehingga dilantik menerajui Qatar.

Dalam perlawanan itu, Iran mendahului seawal minit keempat melalui Sardar Azmoun sebelum tertinggal 1-2 selepas Jassem Gaber Abdulsallam menyamakan kedudukan pada minit ke-17 diikuti dengan gol kedua Qatar oleh Afif pada minit ke-43.

Iran, yang menyingkirkan pilihan utama Jepun 2-1 pada suku akhir, kemudian mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan penalti Alireza Jahanbakhsh pada minit ke-51 tetapi Almoez Ali, penjaring terbanyak edisi 2019, memastikan Qatar mara ke final dengan gol kemenangannya pada minit ke-82.

-- BERNAMA