Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan, menurut jurucakap Kementerian Luar Majed al-Ansari.
Sejak 2011, sekutu presiden yang digulingkan Bashar al-Assad terus mengekalkan operasi kedutaan mereka di Damsyik - terutamanya Iran dan Rusia - manakala kebanyakan negara Barat dan beberapa negara Arab menutup kedutaan mereka.
Emiriah Arab Bersatu membuka semula kedutaannya pada 2018.
Beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi dan Tunisia, menyusul selepas gempa bumi 2023, yang melanda Syria mengorbankan ribuan nyawa. Banyak kerajaan Arab memberi bantuan dan sokongan kepada kerajaan Bashar, dengan diplomat tertinggi melawat Damsyik.
Qatar menutup kedutaannya pada Julai 2011, selepas kumpulan pro-al-Assad menyerang bangunan kedutaan sebagai protes terhadap liputan rangkaian Al Jazeera yang dimiliki Qatar mengenai tindakan keras al-Assad terhadap protes, yang akhirnya menjadi perang saudara.
Pada tahun-tahun berikutnya, Qatar menyokong pemberontak pembangkang dalam perjuangan mereka menentang al-Assad.
-- BERNAMA