LUSAIL: Jaringan hatrik penyerang sensasi Qatar, Akram Afif mendedikasikan kejayaan The Maroons mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan 3-1 malam tadi, kepada isterinya.

Pemain berusia 27 tahun, mewakili kelab liga tempatan, Al Sadd, itu juga mendedahkan kad yang ditulis huruf 'S' yang ditunjukkan ketika meraikan jaringannya adalah permulaan huruf nama isterinya yang merupakan warganegara Kuwait.

"Ia (S) adalah permulaan huruf nama isteri saya, dia orang Kuwait dan hari ini hari pertama dia ke stadium, ini perlawanan pertamanya.

"Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peminat Qatar dan saya juga nak beri semua anugerah yang diterima malam ini kepada isteri saya," katanya yang kekal mahu merahsiakan identiti isterinya, pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Lusail di sini.

Mengulas mengenai ketiga-tiga gol penalti yang berjaya disempurnakan dengan bergaya, Afif berkata rahsianya bukan kerana teknik tetapi keyakinan yang hadir daripada sokongan yang diterimanya selama ini.

Afif dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan selepas mengumpul lapan gol, membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan dan pemain terbaik final.

Pada masa sama, Afif memuji Jordan dengan menyifatkan apa yang telah dilakukan skuad bimbingan Hussein Ammouta itu sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan susulan berjaya mencipta sejarah ke separuh akhir dan beraksi di final.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Qatar, Marquez Lopez berkata perlawanan tersebut mungkin bukan final seperti yang dijangkakan tetapi masih gembira dengan kejayaan itu yang menyaksikan ia gelaran pertamanya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.

"Ia perlawanan yang sukar, sangat sengit, mungkin ia perlawanan bola sepak yang cantik seperti kami harapkan tetapi saya gembira dengan kemenangan ini dan saya gembira dengan Afif atas semua anugerah yang dimenanginya, dia layak untuk diberikan semua gelaran itu," kata jurulatih dari Sepanyol berusia 62 tahun.

Pada final tersebut, Qatar mendahului menerusi penalti Afif pada minit ke-22, namun Yazan Al-Naimat menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67 sebelum Afif menyudahkan dua penalti masing-masing pada minit ke-73 dan 90+5 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.

-- BERNAMA