KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menobatkan Anugerah Bantuan Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 milik pemain sayap Indonesia, Yakob Sayuri.

Keputusan itu diumumkan oleh badan bola sepak itu sendiri di beberapa laman sosial rasmi Piala Asia 2023 pada Selasa, 27 Feb. Bantuan jaringan itu dilakukan ketika perlawanan pertama peringkat Kumpulan D Piala Asia 2023 menentang Iraq, di mana Marselino Ferdinan dengan mudah menyambut hantaran tersebut untuk jaringan.



Yakob Sayuri dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut setelah mendapat undian tertinggi sebanyak 52%, dengan menewaskan pencabar lain iaitu Seol Young-woo (21%), Sardar Azmoun (14%), Ritsu Doan (6%), Ali Saleh (5%), dan Zoir Dzhuraboev (2%).

Pemain PSM Makassar itu secara keseluruhan menampilkan aksi memberangsangkan di pentas Piala Asia 2023, sekali gus mendapat perhatian beberapa kelab luar yang ingin mendapatkan khidmatnya. Namun beliau mengakui ingin fokus bersama PSM Makassar untuk tempoh akan datang sebelum memikirkan sebarang tawaran lain.

Terdahulu, AFC turut menobatkan jaringan Faisal Halim sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 setelah mendapat undian tertinggi ketika perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia berjaya mengikat keputusan dengan jaringan 3-3.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro