KOTA KINABALU: Empat teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadikan asas manifesto GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika melancarkan manifesto itu di Kota Kinabalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, empat teras perjuangan itu ialah Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Jelas beliau, manifesto itu juga merangkumi 13 tunjang utama yang digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat berpandukan empat teras perjuangan GRS.

"Pertama ialah memperkasa ekonomi negeri dan rakyat Sabah merangkumi sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.

"Kedua ialah memperkasakan pengurusan sumber tenaga;  meneruskan usaha tuntutan ke atas hak-hak Sabah daripada Persekutuan; memastikan Kerajaan Pusat melaksanakan tanggungjawab mempertingkatkan keselamatan, pendidikan dan kesihatan," katanya ketika mengumumkan Manifesto GRS di Kota Kinabalu pada Selasa.

Manifesto itu juga kata Hajiji memperkasa pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara; memperkasa urus tadbir perkhidmatan awam Sabah serta meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas.

Beliau turut memaklumkan GRS akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas; menyediakan kemudahan perumahan rakyat; memperbaiki pengurusan tanah; kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat serta meneruskan usaha menuntut kawasan parlimen Sabah ditambah.

"Jika diterangkan satu-satu tidak boleh saya nyatakan dalam empoh singkat. GRS mampu menghasilkan kejayaan membanggakan kepada pembangunan negeri dan rakyat.

"Sehubungan itu, kejayaan ini wajar diteruskan. Mandat yang diberikan rakyat kepada GRS dan BN pada Pilihan Raya Negeri ke-16, perlu diteruskan pada PRU15 ini.

"Uniknya bagi kita di Sabah kerjasama GRS-BN bukan sahaja mewujudkan keharmonian dan kestabilan malah dapat kita membangunkan negeri serta melindungi kepentingan hak rakyat keseluruhannya," katanya.