PADANG SERAI: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, menang besar di Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi, mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi dan calon Barisan Nasional (BN),  C. Sivaraajh (2,983 undi).

Selain itu, calon Pejuang, Hamzah Abd Rahman mendapat 424 undi, manakala calon Bebas, Sreanandha Rao (846 undi) dan Mohd Bakhri Hashim yang mewakili Warisan (149 undi).

DAPATKAN KEPUTUSAN PRU15 DI SINI

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Keputusan DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai


Sementara itu, Bernama melaporkan, keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah kira-kira pukul 10.55 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu beberapa pimpinan PN termasuk Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, SPR turut mengumumkan peratusan keluar mengundi selepas semua 46 pusat pengundian ditutup 6 petang tadi adalah 74.71 peratus.

Kemenangan PN di Padang Serai itu menyaksikan gabungan itu menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15 19 Nov lepas kepada 74 kerusi di seluruh negara dan mengukuhkan kedudukannya di Kedah dengan memiliki 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini.

PH pula kekal 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lepas ditangguhkan dan dilaksanakan pada hari ini berikutan seorang calon telah disahkan iaitu M Karupaiya, 69, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov lepas.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon Pas Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.