Seorang warga emas, Anis Salleh tidak melepaskan peluang untuk turun membuang undi meskipun tidak dapat melihat.
Apa yang penting katanya, tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia perlu dilakukan demi masa depan yang lebih cerah.
“Saya tidak pernah terlepas untuk mengundi, walaupun saya macam ini (buta) tanggungjawab tetap ditunaikan.
“Kepada orang yang sihat, turunlah mengundi demi masa depan Malaysia,” kata warga emas berusia 72 tahun itu.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Awang Chee Awang Jali, 72, dan Morliah Hazmi, 67, dilihat bersemangat dan teruja seperti baru pertama kali mengundi.
Pasangan ini hadir ke Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Kapsel,di Kampung Panglima Seman Lama seawal jam 7 pagi.
“Kami datang awal pada jam 7 pagi, tetapi pintu (pusat mengundi) masih tutup ketika itu kerana ia hanya dibuka bermula jam 7.30 pagi.
“Tunaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menentukan kerajaan yang baik,” katanya.
Dewan Serbaguna Kapsel merupakan antara 50 pusat mengundi bagi kawasan Parlimen Santubong yang memiliki 79,232 pemilih berdaftar.