Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia melibatkan 76 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang bagi Parlimen Padang Serai.
Bagi DUN Tioman pula, 243 anggota polis akan mengundi di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dari 8 pagi hingga 5 petang dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman, bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Anggota keselamatan itu telah mengundi pada 15 Nov lepas namun PRU15 di kedua-dua kawasan itu ditangguhkan kepada 7 Dis berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.
Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15, pada 19 Nov lepas.
Proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 Nov lepas diikuti pengundian awal hari ini dan 7 Dis ini ditetapkan sebagai hari pengundian.
Pada Khamis SPR memaklumkan penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri bagi pengundi yang hadir pada hari mengundi awal dan proses pengundian akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal yang terpilih.
Pengiraan kertas undi awal tidak akan dibuat pada hari ini sebaliknya kesemua peti undi tersebut akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat dan pengiraan hanya akan dibuat pada 7 Dis, bermula 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR.
Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan).
Bagaimanapun, malam tadi Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan parti itu bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi berkenaan.
Terdahulu Warisan turut mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.
DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.
Keputusan PRU15 pada 19 Nov lepas menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
-- BERNAMA