Ketua Pegawai Maklumatnya, Thinalan T Rajagopalu berkata, pihaknya menuntut agar portal media berkenaan mendedahkan sumber yang mengeluarkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya enggan berbuat demikian.
“Sebarang percubaan untuk mewujudkan perbalahan atau menyebarkan maklumat palsu tidak akan diterima.
“Parti berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan dakwaan palsu yang menjejaskan integriti parti dan kepimpinannya.
“MIC sangat komited ke arah kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) di KKB yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat dan menjunjung nilai demokrasi serta tadbir urus yang baik,” katanya dalam siaran di Facebook MIC pada Khamis.
Pada Rabu, sebuah portal media memaklumkan seorang sumber yang enggan mendedahkan namanya mendakwa bahawa wujud tindakan boikot secara senyap dalam kalangan ahli MIC susulan keputusan berkempen parti untuk calon DAP di PRK KKB.
Dalam pada itu, Thinalan berkata, dakwaan berlakunya perselisihan dalaman antara MIC itu disifatkan sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
“Keputusan untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan dalam pemilihan KKB dibuat secara kolektif dengan mengambil kira kepentingan terbaik parti dan pengundinya.
“Sebarang dakwaan yang menunjukkan perbezaan pendapat dalaman atau kekurangan sokongan terhadap keputusan parti adalah tidak benar,” ujarnya.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. - Sinar Harian