Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff perlu membuat kajian sebelum membuat sebarang dakwaan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen kelak.

Tegas Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, Dr Rais selaku Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga seharusnya lebih faham Perlembagaan parti yang sudah jelas untuk setiap ahli.

“Apa motif Dr Rais Hussin yang mendakwa Dr Mahathir berhak untuk tidak duduk di blok kerajaan dan boleh duduk di blok pembangkang tanpa mengundang sebarang implikasi?

“Kalau hendak menjadi pakar strategik, perlulah buat kajian sebelum membuka mulut atau memberi pandangan dan jangan bercakap tanpa sandaran fakta sejarah yang betul.

“Jawapannya jelas bahawa tindakan duduk di blok pembangkang bermakna Dr Mahathir sudah membuat perisytiharan keluar parti. Ini konvensyen parlimen model Westminster yang amat terkenal yang dipanggil tindakan menyeberang lantai (crossing the floor). Jadi tindakan yang perlu diambil juga adalah jelas menurut Perlembagaan Bersatu sendiri,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Jumaat.

BACA: Dr Mahathir tidak boleh anggap dirinya Pengerusi Bersatu - Syed Ali

BACA:
'Tun M jangan buang masa lagi bersama PH' - Khairuddin

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kekeliruan yang berlaku di dalam Bersatu sehingga ada dakwaan kepimpinan parti tidak tahu apa tindakan yang boleh diambil terhadap Dr Mahathir.

Dalam pada itu tegas Syed Ali, mana-mana pihak tidak boleh memperlekeh Majlis Pimpinan Tertinggi atau Presiden Bersatu sendiri dalam menangani isu berkenaan.

“Saya sudah lama mengenali Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya tahu dia bersabar kerana dia sayang Dr Mahathir.

“Tetapi orang-orang baik seperti Muhyiddn janganlah pula dicabar. Buruk padahnya nanti,” tegasnya.

Syed Ali sebelum ini mendakwa Dr Mahathir tidak boleh menganggap dirinya masih Pengerusi Bersatu.

Jelasnya, ia jelas terbukti dari Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan perkara berkenaan.