PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia memberi kerjasama jika siasatan jenayah terhadapnya mahu dimulakan susulan syor daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.


Ringkasan AI
  • Kerjasama Siasatan: Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia memberi kerjasama jika siasatan jenayah terhadapnya dimulakan berdasarkan syor daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Batu Puteh.
  • Penafian Pengkhianatan: Dr Mahathir menegaskan bahawa sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau sangat berhati-hati dalam menguruskan negara dan menafikan tuduhan mencuri duit kerajaan.
  • Pulau Layang-Layang: Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau telah menambah lebih banyak tanah kepada negara dengan membina Pulau Layang-Layang di Sabah, yang kini menjadi tumpuan pelancong.


Pemimpin veteran berusia 99 tahun itu berkata, sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau sangat berhati-hati dalam tingkah lakunya menguruskan negara agar ia tidak bertentangan dengan lunas undang-undang.

"Kalau ada siasatan saya sedia.... nak tanya saya, nak periksa saya.. nak buat siasatan jenayah... Mereka dialu-alukan untuk melakukan siasatan itu.

"Ini kerana saya sangat berhati-hati tentang tingkah laku saya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Malah ada tuduhan saya curi duit kerajaan, sampai sekarang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Anwar tak dapat buktikan walau satu sen pun," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa.

BACA: Pulau Batu Puteh: Jika saya khianat, TPM masa itu juga khianat - Tun Mahathir 

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Ditanya sama ada segala tuduhan tersebut sebagai fitnah dan adakah Dr Mahathir bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, beliau berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu perkembangan perkara itu.

"Kita akan melihat sama ada lebih banyak undang-undang disalahgunakan hanya untuk menentukan kesilapan dan keputusan kepada saya yang dianggap sebagai khianat.

"Saya tidak pernah khianat kepada negara saya sendiri. Sebaliknya, saya menambah lebih banyak tanah kepada negara apabila membina Pulau Layang-Layang," ujar beliau.

"We are not accepting the decision made by ICJ, but.." - Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri itu menambah Pulau Layang-Layang di Sabah berjaya dimajukan dan diperluas sehingga mampu memiliki landasan pendek untuk kapal terbang kecil mendarat serta dilengkapi hotel dan menjadi tumpuan pelancong.

Dalam masa sama, Dr Mahathir menegaskan Pulau Batu Puteh telah lama hilang dan perkara itu disahkan oleh 12 Hakim Mahkamah Antarabangsa, antara lain merujuk kepada surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Kolonial di Singapura pada 21 September 1953.