KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksi terbaharu mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri Kabinet sewaktu pentadbiran beliau berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.


Ringkasan AI
  • Persoalan Dr Mahathir: Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri Kabinet yang mendakwa tidak dapat memberikan pandangan dalam mesyuarat Kabinet mengenai isu Pulau Batu Puteh kerana ia hanya makluman.
  • Tanggungjawab Kolektif: Dr Mahathir menegaskan bahawa di bawah konsep tanggungjawab kolektif Kabinet, semua anggota sepatutnya memberi pendapat dalam setiap perkara yang dibincangkan dan tidak hanya bersetuju tanpa bantahan.
  • Kenyataan Bekas Menteri: Bekas Timbalan Perdana Menteri dan dua bekas menteri mendakwa Dr Mahathir tidak merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu mengenai keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran isu Pulau Batu Puteh, yang dimaklumkan kepada Singapura sebelum mesyuarat Kabinet pertama.


Dalam kenyataan melalui peguamnya, Rafique Rashid, bekas Perdana Menteri itu berasa ‘hairan’ dengan alasan diberikan tiga bekas menteri terbabit yang mendakwa tidak dapat memberikan pandangan dalam mesyuarat Kabinet berhubung isu berkenaan kerana ia cuma makluman.

Dr Mahathir turut membangkitkan persoalan sama ada perlu beliau meminta  anggota Kabinet ketika itu untuk menyatakan pendapat mereka.

"Jika pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak dipersetujui, mengapa mereka tidak membangkang atau memberi pendapat kerana saya hanya maklum?

"Tidakkah mereka tahu bahawa sebarang apa perkara yang dibangkit, dimaklum dan ditimbul adalah memerlukan setiap anggota untuk memberi perhatian dan jika ada pandangan yang perlu mereka utarakan seharusnya mereka lakukan semasa mesyuarat tersebut," kata Dr Mahathir.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan bersama mendakwa, Dr Mahathir tidak merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu berhubung keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018.

Jelas mereka, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

Mengulas lanjut, pemimpin veteran berusia 99 tahun itu berkata di bawah konsep kolektif Kabinet, mereka sepatutnya memikul amanah untuk memberi pendapat dalam setiap perkara yang dibincangkan.

“Adakah mereka mahu memikul tanggungjawab sebagai satu tanggungjawab kolektif Kabinet? Jika tidak, maka mereka telah gagal melaksanakan amanah yang diberikan semata-mata kerana tidak mahu memberikan pandangan,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir menjelaskan minit mesyuarat Kabinet ketika itu mencatatkan bahawa semua anggota termasuk tiga bekas menteri tersebut bersetuju dengan pandangan beliau mengenai isu Pulau Batu Puteh.

Beliau turut mempersoalkan mengapa bekas anggota Kabinet berkenaan hanya bersuara sekarang selepas beliau menjelaskan perkara sebenar mengenai isu tersebut.