KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada Mei 2018 tentang isu Pulau Batu Puteh adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri.


Ringkasan AI
  • Tanggungjawab Kolektif Kabinet: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa keputusan mengenai isu Pulau Batu Puteh pada Mei 2018 adalah tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri, bukan tanggungjawab peribadi Perdana Menteri.
  • Kenyataan Bekas Menteri: Bekas Timbalan Perdana Menteri dan dua bekas menteri mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu, tetapi Muhyiddin menegaskan bahawa semua anggota Kabinet bertanggungjawab secara kolektif.
  • Laporan RCI: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasi menunjukkan kerajaan di bawah Dr Mahathir membuat keputusan secara sepihak untuk menarik balik permohonan menyemak semula keputusan ICJ mengenai Batu Puteh, yang boleh membawa kepada siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir.


Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian susulan kenyataan bersama yang dikeluarkan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mendakwa surat bertulis Tun Dr Mahathir Mohamad kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Muhyiddin yang juga menteri Kabinet ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 menambah, ia tidak menghalang mana-mana anggota Jemaah Menteri untuk memberikan pandangan walaupun perkara tersebut dibawa oleh Dr Mahathir, yang juga bekas Perdana Menteri dalam agenda hal-hal lain.

Tegas beliau, tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

"Apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif," katanya dalam  kenyataan di laman Facebook pada Khamis.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, soal pengkhianatan kepada negara juga tidak timbul.

Malah, ujar beliau adalah tidak wajar seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.

Kata Muhyiddin, jika ini berlaku, ia adalah satu duluan yang buruk  untuk negara.

Pada 10 Disember lalu, Dr Mahathir berpandangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.

Katanya, beliau tidak membuat keputusan sendirian, sebaliknya ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.