MOSCOW: Syarikat penerbangan Rusia, UTair, pada Sabtu memaklumkan bahawa pesawatnya yang sedang dalam penerbangan dari Moscow ke Dubai telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo selepas menerima maklumat mengenai perubahan pada paras cecair hidraulik, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Syarikat penerbangan menafikan maklumat mengenai pendaratan cemas pesawat yang dalam penerbangan dari Moscow ke Dubai pada 11 Januari 2025. Selepas berlepas, maklumat diterima mengenai perubahan paras cecair hidraulik," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Kemudian pada hari yang sama, UTair mengesahkan bahawa pesawat berkenaan telah selamat kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo di Moscow.

"Demi keselamatan, kapten membuat keputusan untuk kembali ke Vnukovo. Pendaratan dilakukan dalam keadaan normal pada pukul 2.41 petang waktu Moscow (11.41 pagi GMT)," kata UTair dalam satu kenyataan berasingan.

Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat, menurut kenyataan itu.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI





TAG: rusia, syarikat penerbangan utair, penerbangan berpatah balik, paras cecair hidraulik