MELAKA: Kerajaan negeri kini memperluaskan Skim Perlindungan Insurans kepada Tok Jekerah dan Tok Jenang bagi menghargai pemimpin masyarakat Orang Asli yang berkhidmat kepada komuniti dan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata perlindungan insurans bernilai RM30,000 seorang itu berkuat kuasa bulan ini dengan 28 Tok Jekerah dan Tok Jenang daripada 14 perkampungan Orang Asli di seluruh Melaka akan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan yang diluluskan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (Bajet) baru-baru ini.

"Sebagai DUN yang mempunyai paling ramai masyarakat Orang Asli, saya percaya ini adalah satu langkah terbaik kerana sebelum ini pelindungan insurans hanya diberikan kepada Tok Batin.

"Inisiatif perlindungan insurans ini penting kerana mereka juga memberi perkhidmatan yang penting dalam komuniti setempat termasuk menjaga kebajikan anak-anak buah mereka di kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri 2025 di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang di sini semalam, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Sains, Inovasi, Teknologi, Komunikasi dan Digital negeri berkata bantuan persekolahan sekali beri kepada anak-anak Orang Asli di Melaka juga akan dinaikkan kepada RM100 daripada RM50 bermula tahun ini.

"Kita harap dengan penambahan elaun bantuan berkenaan akan meningkatkan lagi semangat anak-anak Orang Asli ini untuk belajar dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA