KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis berhubung permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan bayaran RM1.402 juta kerana memfitnah Pengerusi DAP itu, tahun lalu.

Guan Eng, 64, selaku plaintif membuat bantahan itu menerusi Tetuan Guok Partnership dengan menamakan Muhyiddin, 77, sebagai defendan.

Menerusi affidavit jawapan yang dikemukakan, pemimpin DAP itu berkata, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menyatakan kadar perlu dilunaskan sebagai ‘jumlah yang besar’ bukan salah satu keadaan khas untuk penggantungan.

“Saya percaya, defendan merupakan seorang individu yang kaya, memiliki aset yang banyak dan mempunyai kemampuan untuk membayar jumlah penghakiman itu.

“Muhyiddin menduduki tempat pertama dalam senarai Pengisytiharan Aset Kabinet pada Julai 2020 dengan pendapatan bulanan berjumlah RM93,841.65 dan nilai aset yang diisytiharkan antara RM10 juta hingga RM15 juta.

“Tiada risiko kehilangan wang penghakiman sekiranya dibayar kerana saya seorang ahli politik yang aktif di Malaysia, kini memegang jawatan sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan defendan, supaya hanya mendepositkan 50 peratus jumlah penghakiman berkenaan.

Katanya, prospek defendan diisytiharkan bankrap dan kemungkinan pilihan raya kecil akibat kebankrapan itu, tidak dianggap sebagai keadaan khas yang diiktiraf di sisi undang-undang.

Plaintif berkata, defendan yang merupakan bekas Perdana Menteri dan ahli politik terkemuka negara, harus menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat, dengan mematuhi keputusan mahkamah.

Katanya, peguam plaintif telah memulakan prosiding kebankrapan terhadap Muhyiddin di mahkamah sama, namun setakat tarikh pengikraran afidavit ini, notis kebankrapan tersebut, masih belum dimeterai.

Beliau berkata, masa diberikan telah mencukupi dan munasabah kepada defendan iaitu 10 hari dan tambahan dua hari lagi berdasarkan surat peguam saya bertarikh 4 Disember lalu.

Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Bagan itu selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku penghutang penghakiman.

Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.

Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.

Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.

Pada 8 November lalu, Hakim, Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil. - Sinar Harian