Empat anggota tentera yang bertanggungjawab atas kecuaian itu berdepan hukuman penjara selama beberapa tahun, menurut agensi berita Poland PAP pada Sabtu, memetik pejabat pendakwa raya.
Subsidiari bagi syarikat perabot itu mengesahkan kepada agensi berita bahawa pekerjanya menemukan muatan barangan tentera pada Julai 2024. Muatan itu kemudian diambil oleh polis tentera pada hari yang sama.
Walaupun kesilapan itu berlaku enam bulan lepas, rakyat Poland hanya mengetahuinya pada Khamis menerusi laporan portal berita Onet.pl dan Wirtualna Polska.
Pada hari yang sama, Menteri Pertahanan Wladyslaw Kosiniak-Kamysz memecat Ketua Inspektorat Sokongan Angkatan Bersenjata dan mencadangkan penggantinya pada Jumaat. Namun, kementerian itu belum memberikan alasan berhubung pertukaran berkenaan.
Menurut laporan Onet.pl dan Wirtualna Polska, periuk api antikereta kebal itu sepatutnya dipunggah daripada kereta api berhampiran bandar utara Szczecin musim panas lepas bersama sejumlah besar peralatan ketenteraan lain. Namun, tentera meninggalkan beberapa kargo berbahaya kerana kecuaian.
Periuk api antikereta kebal itu pada mulanya hilang dan hanya ditemui beberapa minggu kemudian di sebuah gudang IKEA selepas melalui beberapa lokasi di kawasan pedalaman Poland. Menurut laporan Onet.pl, muatan itu mengandungi bahan letupan yang mencukupi untuk memusnahkan dua bangunan pencakar langit.
-- BERNAMA