Veteran UMNO itu juga mempersoalkan kedudukan UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran selepas wujudnya bukti baharu melibatkan titah berkenaan.
Beliau menimbulkan pertanyaan tentang reaksi dan tindakan lanjut yang akan diambil oleh parti Melayu itu.
"Dengan menerima berita perihal keputusan mahkamah tentang Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, dan juga dengan tersebarnya surat dari pejabat Sultan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 menyatakan dengan terang bahawasanya Titah Adendum penahanan rumah Najib wujud.
"Beberapa persoalan sekarang timbul dan ianya amat merisaukan kita sema dengan apa yang terjadi sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tengku Razaliegh turut mempersoalkan kerajaan yang didakwa tidak mempunyai maklumat tentang kewujudan Titah Adendum itu selain kesan undang-undang setelah mengetahui terdapatnya tambahan bukti yang disahkan Istana Pahang.
Beliau turut membangkitkan kesan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.
Mahkamah Rayuan pada Isnin mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.