KUALA LUMPUR: Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya Barisan Nasional (BN), diseru untuk tidak terpedaya dengan sentimen politik yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nabil Halimi berkata, taktik politik sebegini berpotensi menggugat perpaduan dalam kerajaan, yang kini terbukti berjaya membawa kestabilan ekonomi dan pengiktirafan antarabangsa kepada negara.

“Kerjasama antara Pakatan Harapan dan BN telah menghasilkan peningkatan pelaburan, kawalan inflasi dan reputasi positif negara.

"Kita perlu fokus pada usaha ini tanpa diganggu permainan politik yang memecahbelahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen PN yang turun padang tanda solidariti terhadap untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya, semalam.

Di Mahkamah Rayuan semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Nabil turut mempersoalkan perubahan pendirian beberapa pemimpin PN yang dahulu lantang mengkritik isu 1MDB tetapi kini dilihat mengambil pendekatan berbeza.

“Perlu diingatkan bahawa beberapa pemimpin PN yang sebelum ini lantang menyuarakan isu 1MDB, seperti Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kini mengambil pendekatan bertentangan.

"Perubahan pendirian ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan mereka dan motif di sebaliknya,” jelas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu, yang membenarkan Najib mencabar Titah Adendum, menunjukkan bahawa kerajaan kekal menghormati proses undang-undang berdasarkan fakta dan bukti.

“Saya menyeru semua pihak dalam kerajaan untuk tidak membiarkan taktik politik ini mengganggu usaha kita demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi.