Beliau menyifatkan keperluan pelesenan itu sebagai pencapaian besar dalam meningkatkan keselamatan dalam talian dan pendekatan pengawalan.
"Garis panduan itu dirangka supaya pihak yang berlesen dengan kita, kami boleh menyediakan keselamatan pada tahap tertentu dengan meletakkan tanggungjawab kepada mereka untuk memastikan mereka memantau, memahami aduan yang datang, mereka menyiasat dan mereka menghentikan dan menghalangnya.
"Model kawal selia sendiri ini akan pergi dan peraturan sekarang, pada pendapat saya, sepatutnya melindungi setiap orang. MCMC bekerja keras dengan berdepan pelbagai cabaran untuk mendapatkan pelesenan ini (dikuat kuasa) dan untuk mendapatkan penyedia media sosial yang besar dilesenkan adalah satu pencapaian," katanya.
Derek berkata demikian dalam sesi dialog bertajuk 'International Cooperation in Online Regulation: Reflections on Practice' pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 di sini pada Selasa.
Beliau berkata pengguna media sosial patut mengetahui bagaimana data peribadi mereka digunakan dan mengambil tanggungjawab untuk melindunginya.
"Data anda tidak patut dijual. Anda patut mempunyai hak untuk mengetahui ke mana data anda pergi, kepada siapa dan ramai yang tidak menyedari bahawa maklumat dalam gambar yang anda kongsikan pada media sosial seperti wajah anak anda, alamat anda, plat kereta anda dan sejumlah maklumat dibeli oleh pihak yang saya tidak kenal, kerajaan tidak kenal dan kita tidak kenal.
"Jadi, kesemua perkhidmatan telekomunikasi dan seperti rakan sejawatan saya di Brazil dan Indonesia, kami menangani penggunaan kemudahan itu untuk memastikan ia tidak menyakiti pengguna, pelanggan dan rakyat," tambahnya.
Bertemakan 'Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era' persidangan itu diluncurkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, pada Selasa.
Dalam sidang media terdahulu, Fahmi berkongsi bahawa MCMC memproses 4,699 permohonan untuk menurunkan kandungan berkaitan judi dalam talian dan penipuan sejak 1 Jan tahun ini.
Persidangan dua hari (7 dan 8 Jan) anjuran MCMC itu menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pakar global antaranya dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
IRC 2025 menyasarkan untuk meneroka keseimbangan antara kemajuan teknologi dan peraturan dalam landskap dalam talian yang saling berhubung dan berkembang pesat.
-- BERNAMA