ALOR GAJAH: Melaka akan melaksanakan segera proses pemutihan ke atas taman asuhan kanak-kanak (taska) yang beroperasi di negeri ini dalam usaha menggelakkan insiden kematian bayi di pusat jagaan berulang.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata pemutihan itu melibatkan aspek perlesenan, keselamatan, dan latar belakang pengasuh serta pelaksanaannya perlu disegerakan memandangkan ia bukan kejadian pertama membabitkan Taska di negeri ini.

"Bukan itu sahaja, banyak kaedah penjagaan perlu dilihat semula termasuk membedung sebagai cara mudah menidurkan bayi yang bukan sahaja menjadi satu kesalahan malah membahayakan nyawa bayi," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pasangan suami isteri Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini di kediaman mereka di Taman Kelemak Utama di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 137 Taska di Melaka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jumlah tertinggi iaitu di Melaka Tengah sebanyak 101, Jasin (19 Taska) dan Alor Gajah (17 Taska).

Mengulas mengenai Taska yang menjadi lokasi bayi berusia lapan bulan maut semalam, Kalsom berkata pihak JKM Melaka mengesahkan Taska di Taman Kelemak Utama itu tidak berdaftar dengan agensi berkenaan dan masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi aspek keselamatan.

"Bagaimanapun, ia sudah mendapat sokongan daripada agensi lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Pejabat Kesihatan dan susulan apa yang terjadi semalam, dua pegawai JKM telah melakukan pemeriksaan di premis terbabit dengan turut disertai pasukan forensik polis pada 3.30 petang," katanya.

"Hari ini juga Unit Kanak-Kanak (Taska) dan juga unit penguat kuasa JKM sekali lagi melakukan pemeriksaan serta menemu duga pengusaha Taska berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita tidak pernah menerima aduan kes di Taska ini yang merekodkan kehadiran 10 kanak-kanak termasuk mangsa yang meninggal dunia semalam," katanya yang turut menjelaskan tindakan penguatkuasaan LAK (tutup) dilakukan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).

Semalam, media melaporkan bayi lelaki pasangan itu yang berusia lapan bulan meninggal dunia di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama di sini.

Susulan itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA