Ringkasan AI
- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan bahawa adalah mustahil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengetahui kewujudan Titah Adendum Diraja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
- Hamzah menegaskan bahawa sebarang tindakan menyembunyikan atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara.
- Keputusan Mahkamah Rayuan membuktikan wujudnya tindakan pihak tertentu yang sengaja menyembunyikan Titah Adendum, mengkhianati prinsip keterbukaan yang sepatutnya dijunjung oleh kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, sebagai seorang Perdana Menteri, Anwar terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Agong serta Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin itu membuktikan wujudnya tindakan pihak tertentu yang sengaja menyembunyikan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengkhianati prinsip keterbukaan yang sepatutnya dijunjung oleh kerajaan.
Sebelum ini, pasukan pembelaan Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah disembunyikan daripada umum.
Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, perintah itu wujud dan ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.