Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
- Mahkamah mungkin akan menentukan jika keputusan Yang di-Pertuan Agong dibuat secara budi bicara, maka ia adalah kuasa mutlak Seri Paduka Baginda.
- Jika Titah Adendum disahkan, pelaksanaannya perlu dibuat mengikut undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dengan pihak penjara atau Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab melaksanakannya.
Selain itu, Pakar Perlembagaan itu berpandangan mahkamah mungkin akan menentukan jika Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan secara budi bicara, maka ia adalah kuasa mutlak Seri Paduka Baginda.
"Jadi untuk kita menyatakan bahawa Titah Adendum itu sah dari segi perundangannya, tafsiran yang saya bagi ini cadangan dan pandangan sahaja... keputusan terakhir nanti kita lihat di mahkamah.
"Jadi saya akan bagi dua dimensi iaitu satu mahkamah mungkin boleh menyatakan ia sah (Titah Adendum) kerana ia dibuat berdasarkan kepada nasihat Lembaga Pengampunan.
"Ini kerana kita tidak tahu apa nasihat Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dulu.
"Kedua, kalau pun Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan baginda secara budi bicara, maka pastinya mahkamah juga menentukan bahawa itu adalah kuasa mutlak baginda. Ini boleh menentukan keabsahan Titah Adendum tersebut.
"Pada saya, mengikut keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, nampak seolah-oleh Titah Adendum itu telah wujud.
"Bagaimanapun, kita tunggu juga apa yang akan dikatakan oleh Mahkamah Tinggi nanti," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Menjelaskan lagi, Shamrahayu berkata apabila Titah Adendum tersebut ditentukan kesahihannya, pelaksanaan yang terdapat dalam titah tambahan tersebut perlu dibuat dari segi undang-undang, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Seterusnya apa yang perlu dilakukan contohnya oleh pihak penjara, kalau sudah ada Titah Adendum, dan mahkamah mengesahkannya, maka pihak penjara antara yang bertanggungjawab atau secara umum Kementerian Dalam Negeri untuk pelaksanaannya," tambah beliau.
Keputusan sebelum ini atas alasan 'hearsay'
Sementara itu, seorang lagi pengamal undang-undang menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum adalah kerana terdapat keterangan dengar cakap atau 'hearsay'.
Menurut Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, bagaimanapun berdasarkan beberapa keterangan baharu termasuk afiidavit anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan kes berkenaan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
"Jadi di Mahkamah Tinggilah akan dihujah tentang isu-isu kewujudan titah baginda untuk mahkamah memberikan deklarasi wujudkan titah tersebut, dan untuk melaksanakan.
"Apa yang berlaku terdahulu tidak ada hujahan yang terperinci dan tidak perlu pun sebab peringkat pertama untuk membenarkan kebenaran berhujah berdasarkan merit. Cuma kita perlu capai satu 'threshold' untuk menunjukkan bahawa ada kes yang boleh dengar.
"Pada ketika itu, dikatakan tidak ada kes yang boleh dengar sebab 'threshold' tidak dicapai kerana afidavit-afidavit hanya mengambil keterangan dengar cakap atau 'hearsay'," ujarnya.
Mengenai kenyataan Istana Negara pada 3 Januari lalu pula, Jahaberdeen berkata apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang adalah tepat dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Sebenarnya titah Yang di-Pertuan Agong tidak memberitahu sesuatu yang baharu. Baginda cuma menitahkan apa yang sudah wujud dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan iaitu ada proses-proses tertentu yang perlu dilalui.
"Itu tiada kaitan dengan apa yang berlaku dalam permohonan semakan kehakiman Najib sekarang, dan ia dua perkara yang pada saya tiada kaitan," katanya lagi.
Hari ini, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Mahkamah turut menetapkan 13 Januari ini bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.