Ia susulan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman selepas disabit bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd, dimaklumkan mengenai Titah Adendum melalui saluran boleh dipercayai.
Ia membawa kepada Najib memfailkan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April 2024.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum.
Apa itu Titah Adendum?
- Menurut peguam bela dan peguam cara, Yusfarizal Yusoff, adendum bermaksud tambahan atau untuk memperjelaskan dan menambah syarat-syarat tertentu.
- Kalau dalam perjanjian undang-undang, terdapat perjanjian dan adendum kepada perjanjian yang merupakan perincian kepada perkara tersebut .
- Konsep Titah Adendum pada hari ini kerana ada titah utama, yang mana membenarkan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak iaitu lega hukum daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
- Titah Adendum itu dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Apa yang berlaku sekarang?
- Najib berjaya dapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
- Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.
- Mahkamah menetapkan 13 Januari ini bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.
Apa seterusnya?
- Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Shamrahayu Abd Aziz berpandangan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman yang berjaya diperoleh Najib akan membolehkan mahkamah mengesahkan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum.
- Beliau berkata jika Titah Adendum tersebut ditentukan kesahihannya, pelaksanaan yang terdapat dalam titah tambahan perlu dibuat dari segi undang-undang, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Kuasa Pengampunan
- Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
- Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya. Hal ini dinyatakan dalam peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
- Mengikut Perkara 42 (2), tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri bagi meremit, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau mahkamah sivil dalam Wilayah Persekutuan dan kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tempat kesalahan itu dilakukan.
- Perkara 42 (3) pula menyatakan jika sesuatu kesalahan dilakukan secara keseluruhan atau sebahagian di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu negeri, atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu dilakukan maka ia hendaklah dikira telah dilakukan di negeri tempat kesalahan itu dibicarakan.
- Sementara itu, Perkara 42 (5) menyatakan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.