Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas waktu rehat singkat bahawa anak guamnya berasa tidak sihat kerana sukar tidur sejak tiga hingga empat hari lepas.
"Yang Arif, anak guam saya tidak dapat tidur sejak tiga hingga empat hari lepas disebabkan apa yang beliau jangkakan pagi tadi (Titah Adendum). Beliau berasa tidak sihat. Selain itu, peguam Muhammad Farhan juga tidak sihat.
"Kami mohon sekiranya Yang Arif dapat menangguhkan sekarang dan kita akan bersambung semula esok pagi," kata peguam veteran itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan itu kerana ia melibatkan aspek kesihatan.
Hakim Sequerah kemudian bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan yang akan bersambung semula pada 9.30 pagi esok.
Terdahulu semasa prosiding, Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah melantik atau memecat sesiapa pun di 1MDB, menjelaskan bahawa semua pelantikan dicadangkan oleh lembaga pengarah dan beliau hanya akan mengesahkan keputusan mereka secara bertulis jika perlu.
"Naratif bahawa saya mempunyai kawalan mutlak terhadap 1MDB adalah tidak selari dengan fakta dan autonomi operasi sebenar yang dijalankan pengurusan syarikat itu," katanya semasa disoal peguamnya Muhammad Farhan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu membela diri terhadap 25 pertuduhan termasuk empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Pada 30 Okt, Hakim Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, dan memerintahkannya untuk membela diri.
-- BERNAMA