PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tuduhan dia menjadi dalang yang telah membubarkan pasukan petugas yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Julai 2015 adalah tidak berasas sama sekali, dan sengaja dibuat untuk menyalahkannya secara tidak adil.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan tuduhan bahawa beliau membubarkan pasukan petugas yang menyiasat 1MDB pada Julai 2015 dan menyatakan tuduhan tersebut tidak berasas.
  • Najib juga menafikan terlibat dalam penyingkiran bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada tahun yang sama.
  • Najib menegaskan bahawa perubahan kepimpinan di SPRM dan Jabatan Peguam Negara adalah sebahagian daripada rombakan pentadbiran dan tidak ada kena mengena dengan sebarang arahan atau campur tangan beliau.


Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraannya berkaitan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB, turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau terlibat dalam penyingkiran bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada tahun yang sama.

"Dakwaan bahawa saya mengambil langkah untuk menyebabkan penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mempengaruhi penutupan kes 1MDB, adalah tidak berasas sama sekali dan ia tanggapan yang salah.

"Perubahan kepimpinan di SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah sebahagian daripada rombakan pentadbiran dan tidak ada kena mengena dengan sebarang arahan atau campur tangan saya," katanya.

Pasukan petugas yang diketuai oleh Abdul Gani itu terdiri daripada pelbagai agensi, termasuk polis, SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara.

Selepas penyingkiran Abdul Gani sebagai Peguam Negara, pasukan petugas itu dibubarkan pada Julai 2015, semasa Najib memegang jawatan sebagai ketua kerajaan.

Najib berkata pembubaran pasukan petugas itu tidak memberi kesan kepada siasatan ke atas 1MDB, dan BNM telah pun melancarkan siasatan bebasnya, yang membawa kepada denda RM15 juta dikenakan ke atas 1MDB pada 2016.

"Pada masa yang sama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneruskan pendengarannya, dan agensi penguatkuasa undang-undang lain giat meneruskan siasatan mereka. Fakta-fakta ini dengan tegas menyangkal tanggapan tidak berasas bahawa pembubaran pasukan petugas itu bertujuan untuk menghalang keadilan atau penyiasatan," katanya.

Najib berkata dalam kes Abdul Gani, beliau berhasrat untuk mengesyorkan pelantikannya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

"Bagaimanapun rancangan ini tidak menjadi kenyataan. Cadangan yang mengatakan penggantian beliau sebagai Peguam Negara didorong oleh hasrat bagi menghalang siasatan ke atas 1MDB, adalah palsu semata-mata.

"SPRM meneruskan siasatan ke atas 1MDB di bawah kepimpinan baharu dan tiada gangguan dalam kerjanya," kata bekas perdana menteri itu.

Pada 30 Okt tahun lepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA