KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempergiatkan usaha untuk memodenkan dan mengembangkan kedua-dua Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas tahun ini dari segi meningkatkan kapasiti, menambah baik jumlah aliran barang dan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau yang penting, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pada 2025, Malaysia akan meneruskan dan mengembangkan projek-projek infrastruktur transformatif yang direka untuk meningkatkan kedudukan global negara.

"Pelabuhan Klang merupakan salah satu dari 15 pelabuhan paling sibuk di dunia. Ia adalah asas kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi kita. Dan secara tidak rasminya, saya boleh memberitahu anda bahawa Pelabuhan Klang telah menjadi antara 10 pelabuhan paling sibuk tahun lepas. Ia masih belum diiktiraf di peringkat antarabangsa, tetapi berdasarkan kepada pengiraan kita sendiri, Ia (Pelabuhan Klang) berada di kedudukan 10 teratas sekarang.

"Pelabuhan Tanjung Pelepas, salah satu hab pemindahan penghantaran terkemuka kita sedang mengalami pengembangan yang ketara," katanya dalam ucaptama pada Hari Korporat Malaysia Ke-17 CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd di sini hari ini.

Dengan terminal seluas 1,900 ekar (768.90 hektar) dan zon bebas seluas 1,600 ekar (647.50 hektar), ia menyediakan perkhidmatan perkapalan utama dan memainkan peranan penting dalam sektor logistik.

Pembangunan itu menggariskan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan keupayaan dan daya saing maritim Malaysia di peringkat global, katanya.

Selari dengan usaha berkenaan, negara juga sedang menerokai potensi besar industri bunkering -- dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan sebanyak empat peratus dan saiz pasaran global mencecah US$160 bilion (RM718 bilion) menjelang 2030, Malaysia bersedia untuk menjadi pemain utama dalam sektor yang berkembang maju itu, katanya.

"Ini sejajar dengan matlamat kita yang lebih luas untuk meningkatkan ekosistem maritim, mewujudkan peluang untuk pertumbuhan dan inovasi," tambahnya.

Pada acara yang sama semasa sesi perbincangan santai, Loke berkata negara sedang menilai sumber yang perlu dilaburkan dalam bunkering hijau.

"Dan di sinilah Malaysia sepatutnya mempunyai kelebihan yang lebih besar berbanding negara lain, terutamanya negara jiran kita. Ini kerana kita menghasilkan beberapa bahan api yang mampan. Oleh itu, kita sedang melihat untuk menjadi negara pengeluar dan bukannya negara pengguna," tambahnya.

-- BERNAMA