KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa, terdapat campur tangan politik daripada kuasa asing bagi merosakkan kedaulatan negara semasa kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia bukan spekulasi kerana memang telah terbukti berlaku, terutama ketika pentadbiran Parti Demokratik di Amerika Syarikat (AS).

Campur tangan itu didakwa didokumentasikan hasil pembiayaan Open Society Foundations pimpinan George Soros.

“Dokumen yang bocor pada 2016 itu mendedahkan terdapat strategi dan operasi hasil pembiayaan oleh George Soros untuk mempengaruhi pendapat awam. Ya, pandangan anda, pandangan saya, sasarannya kita semua, rakyat Malaysia rakyat Malaysia untuk gugat kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas prosiding bela diri Najib terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi, di sini, pada jumaat.

Ketika membacakan kenyataan media, Shafee berkata, walaupun Jabatan Kehakiman AS mengakui aduan pelucutan hak sivil berkaitan 1MDB hanya dakwaan, ia mencipta naratif palsu yang mencemarkan nama Najib sebelum bukti dikemukakan di mahkamah.

Katanya, akibat daripada beberapa tindakan ini termasuk dokumentari berat sebelah disiarkan di sebuah laman penstriman, Malaysia mengalami ketidakstabilan politik dengan empat perdana menteri dalam hanya empat tahun selepas 2018, hasil kejayaan campur tangan AS yang terancang.

Shafee berkata, pembelaan Najib ketika ini bukan sekadar niatnya mahu membersihkan nama, malah menjadi pendirian terhadap hakisan kedaulatan Malaysia oleh kuasa luar.