SINGAPURA: Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu di Parlimen pada Selasa, bertujuan untuk menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan bagi mengekalkan keharmonian kaum di negara ini.

MHA memaklumkan bahawa RUU Pemeliharaan Keharmonian Kaum itu merujuk rapat kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama (MHRA) yang digubal pada 1990 untuk mengekalkan keharmonian agama.

"RUU ini mencerminkan tekad teguh kami untuk memperkukuh perpaduan kaum dan kekal bersatu sebagai satu rakyat. Ia mencapai keseimbangan antara memastikan wacana awam bebas daripada ucapan berunsur kebencian, sambil menyediakan ruang untuk perbincangan yang sah," menurut kenyataan MHA.

Cadangan utama dalam RUU ini termasuk memperkenalkan rejim Perintah Sekatan (RO) untuk menangani kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta langkah keselamatan untuk mengelakkan entiti berasaskan kaum digunakan sebagai saluran pengaruh asing.

RUU itu akan membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu yang terlibat dalam komunikasi, pengeluaran atau penyebaran kandungan yang menjejaskan usaha mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.

RO berkaitan kandungan perkauman ini antaranya, boleh melarang individu daripada berkomunikasi atau menyebarkan maklumat atau bahan tertentu, serta daripada memegang jawatan dalam lembaga pengarang atau jawatankuasa penerbitan tertentu.

Kegagalan mematuhi RO adalah satu kesalahan. Namun, sebagai langkah keselamatan, semua RO akan disemak oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) serta tertakluk kepada pengesahan Presiden.

Sementara itu, RUU ini turut mencadangkan agar entiti berasaskan kaum mematuhi dasar bagi mencegah pengaruh asing, termasuk keperluan untuk mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan luar, serta komposisi kepimpinan mereka.

Entiti ini juga mesti mematuhi sekatan kepimpinan, yang mengkehendaki lebih separuh daripada badan pentadbir entiti terdiri daripada warganegara Singapura, selain memastikan pegawai yang bertanggungjawab adalah warganegara atau penduduk tetap Singapura.

Langkah-langkah ini bertujuan melindungi Singapura daripada pengaruh asing berniat jahat yang mungkin mengeksploitasi isu perkauman untuk melemahkan keharmonian kaum demi mencapai agenda mereka.

Namun, RUU ini hanya terpakai kepada entiti berasaskan kaum yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kompeten.

"Sebuah entiti boleh disahkan jika Pihak Berkuasa Kompeten berpuas hati bahawa matlamat, tujuan atau aktivitinya termasuk mewakili atau mempromosikan kepentingan mana-mana kaum, atau membincangkan isu berkaitan mana-mana kaum dan penetapan dianggap perlu untuk mencegah, mengelakkan atau mengurangkan pengaruh asing yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di Singapura," menurut kenyataan itu.

Sebagai permulaan, persatuan dan perniagaan yang berkaitan dengan kaum Cina, Melayu dan India akan ditetapkan di bawah RUU ini.

-- BERNAMA