SHAH ALAM: Seramai 1,133 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata orang ramai, penyokong dan calon parti bertanding diingatkan agar mematuhi undang-undang serta menghormati proses PRK kali ini.

"Selain itu, pihak polis juga telah membuka lima kertas siasatan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 hasil 10 laporan yang diterima sejak kempen PRK KKB bermula 27 April lepas," katanya dalam sidang media di Ibu Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka, dua tangkapan dibuat manakala seorang daripada mereka telah dituduh di mahkamah.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak menyentuh isu berkenaan 3R (agama, kaum, diraja) yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak meletak kenderaan di bahu jalan bagi mengelak kesesakan jalan raya sepanjang proses pengundian berlangsung, patuhi arahan pihak polis dan berharap proses pengundian berjalan lancar," katanya.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

-- BERNAMA