KUBANG PASU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di dalam hutan ditemukan mati lemas di dalam sebuah kolam di sebuah kelab golf, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun, ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam pada jarak 100 meter (m) dari lokasi motosikal mangsa diparkir.

“Sebaik pusat gerakan bomba menerima laporan pada jam 10.58 pagi, anggota dihantar ke lokasi mangsa dilaporkan hilang bagi melakukan pencarian.

"Operasi seramai 36 orang turut membabitkan polis dan Angkatan Pertahanan Awam selain dibantu penduduk kampung.

"Operasi pencarian dibahagi kepada empat pasukan, gabungan agensi dan penduduk kampung, dengan radius operasi dalam lingkungan 100m ke 200m dari lokasi motosikal mangsa ditemui,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapunx, menurut Muhammad Ezzat, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan kelab golf dalam keadaan terapung pada jam 6.39 petang.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu ACP Mohd Redzuan Salleh, mengesahkan kejadian dan polis sedang melakukan siasatan berkaitan kejadian terbabit.