KUALA LUMPUR: Bekas peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson membuat kejutan apabila memuat dua gambar di Instagramnya dengan wajahnya yang lebam dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam," katanya dalam hantaran itu di sini, pada Isnin.

Dua hari sebelum itu, wanita berusia 39 tahun itu berkongsi mengenai perpindahannya ke sebuah lokasi baharu bagi menguruskan perniagaan pai yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu.

Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memberitahu, suami wanita itu yang berusia 46 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan.

"Kita akan bawa dia ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman esok (Selasa)," ujarnya.

Suspek yang bekerja sebagai kontraktor binaan itu kata Wan Mohd Zahari akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Difahamkan, pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu turut mengakui sudah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Sebelum ini, personaliti popular itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.

Dia turut mendedahkan bahawa rumah tangga mereka sudah pernah bergolak sejak penghujung tahun 2011.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata.