KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Harith Iskander dan isterinya, Dr Jezamine Lim akan mengeluarkan kenyataan bersama dalam masa terdekat berhubung permohonan cerai mereka.

Dalam perkongsian mesej di aplikasi WhatsApp, Harith turut memohon maaf atas kelewatan membalas mesej dan mohon diberikan masa sebelum memberikan penjelasan berhubung krisis rumah tangganya.

"Terima kasih atas panggilan atau mesej. Saya mohon maaf atas kelewatan menjawab.

"Kami akan membuat kenyataan bersama dalam masa terdekat dan anda pasti menjadi orang pertama mengetahuinya.

"Terima kasih banyak atas kesabaran anda," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Jezamine memberitahu Astro AWANI, permohonan cerainya itu akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 15 Julai ini.

"Hearing on 15th July, after that okay (Sebutan kes pada 15 Julai ini, lepas itu okey (untuk mengeluarkan kenyataan)," ujarnya.

Dr Jezamine sebelum ini mengesahkan yang beliau memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada Jun lalu.

Harith Iskander dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne yang kini berusia sembilan tahun.