KUALA LUMPUR: Seorang pengurus pentadbiran syarikat perundingan bekalan senjata api milik warga Sepanyol dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM1.5 juta.

Majistret Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Tan I-Lynn, 38, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Bagi dua pertuduhan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing enam bulan dan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 22 Ogos 2023.

Mengikut dua pertuduhan itu, Tan didakwa sebagai pekerja di Syarikat Ada Vinci Global Sdn Bhd telah menyalahgunakan harta iaitu wang masing-masing berjumlah RM1,518,422.88 dan RM58,354 kepunyaan syarikat berkenaan.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan di syarikat itu di Menara YNH Kiara 163, Jalan Dalam, Brickfields di sini, antara 3 Dis 2021 hingga 9 Mac 2022, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang juga pembantu peribadi pemilik syarikat itu telah diamanahkan dan dibenarkan untuk mengawal selia akaun bank atas nama syarikat Ada Vinci Global sebagai penandatangan yang diberi kuasa.

Hasil siasatan pihak polis mendapati tertuduh telah menggunakan wang milik syarikat tersebut sebanyak RM1,576,776.88 antara 3 Dis 2021 hingga 10 Dis 2022 bagi tujuan pelbagai bayaran termasuk transaksi pembekalan coklat yang dibeli oleh syarikat milik tertuduh iaitu Orchid Impex Global.

Tertuduh didapati telah menyalahgunakan wang syarikat Ada Vinci Global tanpa kebenaran dan kelulusan pemilik syarikatnya.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Peguam Puvarasan B.R mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum dan berjalan serentak kerana anak guamnya mempunyai masalah kesihatan yang serius iaitu diabetes, asma selain masih mendapatkan rawatan masalah sakit tulang belakang.

-- BERNAMA