DUNGUN: Pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun atas tiga pertuduhan membunuh, hari ini.

Tertuduh Norizan Ismail, 49, berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.35 malam 9 Oktober lalu di Jalan Pantai  berhadapan UiTM Dungun.

Bagi kesalahan itu tertuduh  berdepan hukuman mati atau penjara selama tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan, jika sabit kesalahan

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 17 November depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah dan Nur Azhani  Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Selepas ini ibu kepada tiga cahaya mata itu akan didakwa di  Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Pada Rabu tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera  selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.