SUNGAI BULOH: “Hanya Adib satu-satunya anak lelaki saya, kini saya sudah kehilangannya.”

Itu luahan bapa kepada Ku Adib Aizad, Ku Azmi Saad, 47, yang menyifatkan kehilangan anak sulungnya satu ujian yang perlu ditempuhi.

Namun beliau tabah menerima berita pilu itu apabila banyak mendengar rakan-rakan arwah menyifatkan Ku Adib seorang yang suka membantu.

“Saya rasa sifat baik dia ialah suka tolong orang, ramai kawan-kawan dia cakap itulah sifatnya.

“Banyak cerita dia dengan kawan-kawan, saya sebagai ayah biasanya borak tentang  bola sepak dan memancing, jadi saya hilang kawan bola dan memancing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai pengebumian jenazah Ku Adib kira-kira jam 6.30 petang, di sini, pada Khamis.

Jenazah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Ku Adib yang maut dalam nahas mengorbankan tiga nyawa pada Rabu selamat dikebumikan pada petang Khamis.

Jenazah tiba di rumah keluarganya dari Dungun, Terengganu jam 4.30 petang selepas disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah di sini.

Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan turut mengiringi jenazah.

Terdahulu bapa Ku Adib juga sempat mengimamkan solat jenazah sebaik tiba dari Jeddah, Mekah kira-kira jam 5.15 petang.

Ku Azmi adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), anak syarikat Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) manakala isterinya, Hafizah Iszahanid adalah Penolong Pengarang Berita, Berita Harian.