Mohammad Ridhuan Mohd Sharif, 52, dari Keramat, Kuala Lumpur berkata sebagai umat Islam beliau percaya dengan ketentuan takdir dan menganggap kemalangan yang menimpa Muhammad Amar Danish, 20, sebagai ujian Allah SWT kepada mereka sekeluarga.
Mohammad Ridhuan berkata beliau dan isterinya sudah memaafkan wanita yang dipercayai mengalami masalah mental itu dan keluarganya yang turut menerima tekanan serta persepsi negatif orang ramai susulan kejadian berkenaan.
"Dia (suspek) tidak sihat. Saya tak salahkan dia dan keluarganya atas kejadian ini. Jika keluarganya nak datang jumpa kami atau melawat Amar (Muhammad Amar Danish) tak ada halangan," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun hari ini.
Beliau berkata Muhammad Amar Danish sudah dibenarkan keluar dari hospital dan semua urusan pulang termasuk kenderaan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengurusan UiTM.
Mohammad Ridhuan berharap anak keduanya itu cepat sembuh dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa.
"Alhamdulillah Amar semakin sihat dan dah tak meracau seperti dua malam lepas. Rakan-rakannya dari Kuala Lumpur juga ramai datang melawat hari ini.
"Sebenarnya doktor dah bagi kebenaran untuk pulang hari ini tetapi pihak UiTM perlu uruskan dokumen berkaitan dan pengangkutan. Insya-Allah esok boleh balik ke Kuala Lumpur," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Sementara itu, Muhammad Amar Danish berkata dia tidak dapat mengingati sepenuhnya kemalangan berkenaan yang menyebabkan tiga rakannya Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Perakaunan itu berkata pada hari kejadian mereka berempat baru sahaja pulang dari menghadiri aktiviti kokurikulum di kampus sebelum menaiki dua motosikal untuk membeli barang di bandar.
"Lepas selesai aktiviti kokurikulum saya ajak Khai (Khairil Anwar) ke bandar untuk beli barang. Pada awalnya kami nak pergi berdua sahaja, tetapi Akmal (Muhammad Akmal) dan Adib (Ku Adib Aizad) nak ikut.
"Lepas tu kami gerak dan sempat bergurau macam biasa. Saya yang tunggang motosikal dan Khai membonceng di belakang. Dia memang selalu minta saya bawa motosikal sebab percaya pada saya," katanya.
Muhammad Amar berkata dia hanya menyedari terlibat kemalangan selepas mendapati dirinya berada dalam longkang dan dikerumuni ramai orang.
"Saya sangat rindukan sahabat baik saya. Masih terbayang-bayang kenangan terakhir saya bersama mereka. Saya berdoa agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
-- BERNAMA