SUNGAI BULOH: Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang maut dalam nahas berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun adalah penerima pinjaman Dermasiswa Yayasan Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pemergian Ku Adib adalah tanda kehilangan satu permata dari negeri itu yang cukup berharga.

"Kita kehilangan satu permata di Malaysia khususnya di negeri ini, dalam kejadian kemalangan itu dua daripada mangsa berasal dari Selangor.

"Ini insiden yang amat menyayat hati, kami amat bersedih dengan kehilangan kedua-dua mangsa dalam kemalangan itu. Dalam masa sama saya akan rujuk dengan Yayasan Selangor untuk tindakan lanjut kerana Ku Adib penerima pinjaman yayasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Ku Adib Aizad hampir setengah jam di Saujana Utama, di sini, pada Khamis hampir 

Ketibaan beliau jam 8.30 malam disambut ibu bapa Ku Adib, Hafizah Iszahanid dan Ku Azmi Saad serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Jenazah Ku Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah, Saujana Utama, di sini, jam 6.30 petang pada Khamis.

Ku Adib merupakan penuntut UiTM Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan berhadapan kampus berkenaan selepas dua buah motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta.

Dua lagi mangsa yang maut dalam nahas berkenaan ialah Mohd Akmal Tukirin, 25, dan Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, manakala seorang rakan mereka Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, cedera parah dan kini dilaporkan stabil.