Lelaki berusia 53 tahun itu kehilangan anak sulung tujuh tahun lepas, juga akibat kemalangan, dan kini, kehilangan anak bongsunya pula, Khairil Anwar yang baru berusia 20 tahun.
Khairil Anwar merupakan salah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh seorang wanita pada Rabu malam.
Menurut Jamaludin, arwah merupakan anak yang sangat baik, tidak pernah langsung melawan atau meninggikan suara kepadanya.
“Dia anak yang baguslah. Tak pernah pun tinggi suara ke, apa ke. Dia selalu kata - Ya abah…baik abah…”
“Apa pun yang saya suruh buat, dia kata - baik abah, nanti saya buat ya abah. Dia tidak pun macam kata tak nak buat.
“Dia memang anak yang lemah lembut tapi disukai oleh semua orang, tak kiralah siapa pun yang kenal dia.
“Macam dia kerja separuh masa di kedai kopi di Central Market sebelum ini, bekas majikan dia tadi pun ada datang. Dia kata dia (Khairil Anwar) pekerja paling baik, tak melawan, tak pernah bantah apa pun,” katanya.
Jamaludin kelihatan tenang dan sabar sepanjang majlis pengebumian itu namun sesekali air matanya gugur juga, mengenangkan dia kini tidak lagi boleh menatap wajah anak bongsunya itu di depan mata.
Ungkapan Jamaludin ini, boleh dikatakan yang paling meruntun jiwa, menterjemahkan rasa rindu, kasih dan sayang seorang bapa kepada anaknya yang kini sudah tiada.
“Biarlah dia bersemadi dengan tenang. Bagi saya…tenanglah dia di sana.
“Kalau boleh, jemputlah abah di pintu syurga… untuk saya, mak dia dan kakak-kakak dia. Itu saja.
“Dia anak yang memang terbaik bagi saya. Sama juga arwah abangnya dan dia. Mereka dua sama-sama meninggal kemalangan.
“Allah sayangkan sangat mereka berdua… pergi di usia yang muda,” ujarnya.
Dia berkata demikian kepada Astro AWANI usai urusan pengebumian anak bongsunya itu yang turut dihadiri ibu kepada arwah, Normah Mohamed Nor, 52, saudara-mara, rakan-rakan dan juga pengurusan UiTM.
Jenazah Khairil Anwar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada petang Khamis, kira-kira jam 4.45 petang.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang parah selepas terbabit kemalangan di hadapan universiti berkenaan pada Rabu malam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam itu, empat pelajar menunggang dua motosikal dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita.
Selain Khairil Anwar, dua lagi yang terkorban adalah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.
Manakala seorang rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, cedera.