MUAR: Jenazah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang maut dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah kereta berhampiran kampus universiti itu malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Muar petang Khamis.

Proses pengebumian yang selesai kira-kira pukul 5.23 petang itu berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran kira-kira 150 ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan Allahyarham memberikan penghormatan terakhir.

Lebih memilukan, ayahnya Md Tukirin Saringat, 60, dilihat sayu sepanjang pengebumian itu dijalankan.

Sebelum itu, van jenazah membawa Allahyarham dari Pusat Hidayah UiTM Dungun jam 11 pagi tiba di rumahnya di Kampung Parit Baru, di sini jam 4.17 petang.

Kepulangan jenazah Allahyarham bersama kedua ibu bapanya Md Tukirin dan isteri Rafeah Buang, 50, disambut pilu ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan Allahyarham yang memenuhi kediaman mereka di Parit Baru, Bukit Naning.

Jenazah Allahyarham disembahyang sekali lagi di pekarangan rumahnya selepas solat Asar sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Dalam kejadian 7.20 malam Rabu, Muhammad Akhmal bersama dua lagi penuntut UiTM Dungun maut selepas dua motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan universiti berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun.