KUANTAN: Dua sungai di Pahang dilaporkan melebihi paras bahaya, empat amaran dan 11 lagi waspada susulan hujan berterusan sejak Isnin.

Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan mencatat paras air setinggi 5.08 meter (m) melebihi tahap bahaya sebanyak 0.08m.

Situasi ini disertai hujan renyai dengan jumlah satu milimeter pada jam 6 pagi, Selasa.

Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran pula merekodkan paras air 29.17 m, iaitu 2.17m melebihi tahap bahaya dengan trend paras air yang terus meningkat.

Beberapa sungai lain berada pada paras amaran termasuk Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Kuantan, dengan paras air 21.42m iaitu 0.67 m melebihi tahap amaran.

Di Cameron Highlands, Sungai Ringlet di Pekan Ringlet menunjukkan paras air 134.41m melebihi tahap amaran sebanyak 0.25m.

Kedua-dua sungai ini juga mencatat trend peningkatan paras air.

Selain itu, terdapat 11 sungai kini berada pada status waspada iaitu Sungai Tembeling di Kampung Kuala Tahan, Jerantut mencatatkan paras air sebanyak 107.9m, melebihi tahap Waspada sebanyak 0.9m dengan trend meningkat.

Seterusnya, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan menunjukkan paras air 4.58m, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (17.12m), Sungai Pahang di Kuala Krau, (36.97m), Sungai Kundang di Kampung Kundang (F1), Maran (19.25m) dan Sungai Tembeling di Kampung Merting (F1), Jerantut (56.46m).

Sungai Chegar Perah (F1), Lipis mempunyai paras air 96.85m, melebihi tahap Waspada sebanyak 0.35m, dengan tren meningkat, Sungai Lepar di Kampung Gelugor (F1), Kuantan (28.74m), Sungai Tembeling di Kampung Bantai Seberang (F1), Jerantut (23.31m), Bandar Maran di Sungai Maran (F1), Maran dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran masing-masing ( 17.12m).

Pada Ahad, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan tujuh negeri hingga 11 Disember ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku bermula 8 hingga 11 Disember di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Selain itu, amaran sama diramal bermula 9 hingga 11 Disember di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Mersing dan Kota Tinggi di Johor. - Sinar Harian